Wednesday, 19 June 2013

Kedudukan Ilmu Di Sisi Generasi Terdahulu.

Seorang sahabat, ‘Ali karamallahu wajhah telah berkata kepada Kamil bin Ziyad, “Wahai Kamil, ilmu itu mengawasi kamu sedang kamu mengawasi harta, ilmu itu adalah hakim sedang harta itu adalah barang yang dihakimi ke atasnya, harta itu sifatnya berkurang dengan perbelanjaan sedang ilmu itu bertambah dengan penyebaran.” Perkara ini telah disyarahkan oleh Ibn al-Qayyim dengan syarahan yang meluas di dalam karyanya yang berjudul “Miftah Dar al-Sa’adah”.

Abu al-Aswad pernah menyebut bahawa tidak ada suatu perkara yang lebih menjadikan seseorang itu mulia melainkan dengan ilmu. Para penguasa menguasai manusia kebanyakan, sedang para ulama’ menguasai para penguasa. Hal ini telah dirumuskan oleh si penyair dalam bait syairnya,

Sesungguhnya para pembesar menguasai golongan bawahan
Sedang para pembesar itu sendiri dikuasai para ilmuan.

Dan seseorang telah bertanyakan kepada Ibn al-Mubarak, “Siapakah manusia?” Ibn al-Mubarak menjawab, “golongan yang berilmu.”

Beliau ditanya lagi, “Siapakah para penguasa?” Ibn al-Mubarak menjawab, “Mereka yang zuhud.”

Beliau ditanya lagi, “Siapakah mereka yang hina?” Ibn al-Mubarak menjawab, “Mereka yang memakan hasil dunia dengan menjual agama.”

Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa orang berilmu itu diistilahkan sebagai manusia kerana ciri istimewa yang membezakan seorang manusia dengan haiwan ialah akal, sedang akal itu dizahirkan dengan ilmu. Ibn ‘Abbas telah menyebutkan bahawa melakukan revisi terhadap ilmu pada sebahagian malam lebih beliau sukai berbanding menghidupkannya dengan ibadat khusus. Al-Hasan juga menyebutkan bahawa apabila ditimbang dakwat yang digunakan golongan berilmu berbanding darah para syuhada’, maka dakwat yang digunakan golongan berilmu itu lebih memberati timbangan tersebut.

Di dalam tafsir ayat dari Surah al-Baqarah 2 ; 201 mafhumnya,

“…Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat...

Beliau telah menyebutkan bahawa sesungguhnya kebaikan di dunia itu ialah ilmu dan ibadat, dan kebaikan di akhirat itu ialah syurga.

Dan disebutkan bahawa Hakim telah ditanya oleh seseorang, “Apakah perkara yang mampu aku perolehi?” Hakim pun menjawab, “Perkara tersebut ialas sesuatu yang berenang bersama kamu di kala sampanmu karam, iaitulah ilmu.”

Imam Ahmad pernah menyebut bahawa manusia lebih berhajat kepada ilmu melebihi makanan dan minuman kerana seseorang itu hanya memerlukan makanan dan minuman sebanyak sekali mahupun dua kali dalam sehari, sedangkan dirinya memerlukan ilmu sebanyak bilangan nafasnya. Sebahagian daripada generasi terdahulu juga pernah menyebutkan bahawa sesiapa yang menginginkan dunia maka wajib untuk dirinya mempunyai ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat juga wajib untuk dirinya mempunyai ilmu dan sesiapa yang menginginkan keduanya maka dia juga wajib mempunyai ilmu.

___________________


Terjemahan dan sedikit olahan. Dipetik daripada “Al-Hayat ar-Rabbaniyyah wa al-‘Ilm” karya al-Sheikh al-Qaradhawy. Artikel asal boleh diperoleh di sini.

No comments:

Post a comment