Sunday 1 December 2013

PANDANGAN SAYA BERKAITAN ISU SURAT

Saya hanyalah ahli biasa PMRAM dan bukanlah individu yang berautoriti untuk memberikan respon terhadap isu yang berlaku dan hangat diperkata sejak semalam. Tetapi pandangan ini merupakan hasil pemerhatian dan pencarian saya, bagaimana kita melihat isu ini dan menilai fakta dan hujah yang disebutkan.

Sebelum kita pergi jauh, ada baiknya jika kita meneliti hujah berikut.

ISMA Mesir : http://ismamesir.net/v3/?p=8797

YDP BKPPPM : http://pmram.org/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2428:kenyataan-rasmi-ydp-bkpppm-berhubung-isu-surat-untuk-tidak-layak-menetap-di-asrama&catid=77:personal-tech

Presiden PMRAM : http://pmram.org/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2429:kenyataan-rasmi-pmram-isu-surat-makluman-untuk-tidak-layak-menetap-di-asrama-pulau-pinang-mesir&catid=55:kenyataan&Itemid=412

Pandangan yang akan saya kemukakan akan dipecahkan mengikut point-point berikut.

1.        Diskriminasi

Yang menjadi asas kepada panasnya isu ini ialah surat yang dikeluarkan oleh BKPPPM dengan menggunakan letterhead PMRAM. Saya mendapat penafian daripada beberapa ahli PMRAM (dan saya juga ahli PMRAM) bahawa isu yang sebenar adalah sdr Rusydan dengan rela hati bersetuju untuk keluar daripada rumah tersebut. Baiklah, saya tiada masalah dalam hal tersebut.

Perkara yang lebih perlu kita pandang adalah soal diskriminasi yang terkandung dalam isi surat, apabila sdr Rusydan diberikan pilihan sama ada kekal bersama ISMA atau tinggal di rumah Pulau Pinang. Saya tidak pasti sama ada ia bertepatan dengan undang-undang tubuh BKPPPM atau tidak, memandangkan saya bukanlah ahli BKPPPM. Jika dibaca surat tersebut, ia memberi kefahaman bahawa syarat selain daripada kumpulan yang diiktiraf PMRAM, maka mereka yang lain tidak berhak sama sekali untuk mendiami rumah tersebut.

2.       Perlembagaan

Hal ini merupakan isu asas dan seringkali saya ulang sebut di dalam status-status terdahulu. Soal perlembagaan telah saya suarakan di peringkat cawangan dengan harapan agar ia dibawa ke atas dengan penegasan bahawa perlembagaan mesti didedahkan kepada pengetahuan ahli. Dan saya telah pun mencadangkan sebelum ini, jika perlembagaan tidak mampu diedarkan kepada semua ahli, pihak persatuan boleh lampirkan di dalam blog rasmi mereka. Tetapi hal itu tidak berlaku, termasuklah di cawangan yang saya berada sekarang.

Ada yang memberi komen, sesetengah cawangan akan menjual perlembagaan itu kepada ahli ketika Mesyuarat Agung Tahunan (MAT). Sesiapa yang tidak sempat untuk membeli ketika itu, ia boleh dibeli ketika hari lain melalui jawatankuasa persatuan. Persoalan yang timbul, saya difahamkan bahawa setiap cawangan (BKAN dan DPM) mempunyai perlembagaan tersendiri. Maka apakah yang dijual dan diedarkan itu perlembagaan BKAN/DPM atau termasuk sekali perlembagaan PMRAM yang tidak pernah diketahui ahli, malah seingat saya tidak ada dijual ketika Muktamar Sanawi PMRAM.

Merujuk kepada isi kandungan surat yang menyebut bahawa untuk menetap di rumah tersebut (Pulau Pinang) mestilah menjadi ahli yang sah kepada BKPPPM sama secara tetap atau bersekutu.

Saya tidak pasti sama ada sdr Rusydan menjadi ahli yang sah atau tidak. Tetapi merujuk kepada point lain di dalam surat tersebut, syarat-syarat menjadi ahli BKPPPM :

-          Tidak mendaftar namanya untuk menjadi ahli mana-mana badan/persatuan yang berbau politik.
-          Keahlian BKPPPM tertakluk kepada keahlian PMRAM.

Persoalan yang paling asas sekali ialah, apakah syarat untuk menjadi ahli PMRAM seperti yang termaktub di dalam perlembagaan? Persoalan ini diutarakan kerana survey yang saya pernah lakukan secara rambang mendapati ahli persatuan tidak pernah didedahkan kepada perlembagaan persatuan yang menjadi asas dan teras kepada pergerakan persatuan.

Persoalan yang lain ialah, apakah syarat yang termaktub di dalam undang-undang tubuh persatuan yang bernaung di bawah PMRAM selari dengan perlembagaan PMRAM? Sedangkan nama lain bagi BKAN dan DPM ialah PMRAM Cawangan. Dan adakah perkara ini termaktub juga di dalam perlembagaan?

3.       Kesalahan Fakta

Seperti yang kita sedia maklum, ISMA sememangnya menghantar wakil dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu. Merujuk kepada surat, ia mengakui bahawa ISMA adalah NGO yang menyertai (?) pilihanraya baru-baru ini, maka ISMA dikira sebagai parti politik.

Saya berpandangan (boleh jadi pandangan ini salah) ISMA tidak boleh dikategorikan sebagai parti politik jika hanya menghantar calon untuk bertanding di dalam pilihanraya kerana calon ISMA bertanding atas tiket parti BERJASA. Bukan parti ISMA.

4.      Asrama Pulau Pinang

Saya tidak berhasrat menyentuh usul mesyuarat yang diluluskan seperti yang termaktub di dalam surat. Fokus saya beralih kepada asrama Pulau Pinang. Mengikut kenyataan rasmi YDP BKPPPM, asrama Pulau Pinang telah diamanahkan oleh kerajaan negeri dan MAINPP kepada BKPPPM untuk mengurus tadbir asrama tersebut mengikut undang-undang tubuh persatuan yang sedia ada. Keputusan yang dibuat dan diambil berdasarkan undang-undang tubuh dan etika perumahan.

Persoalannya, apakah kaitan antara PMRAM dalam isu ini, sedangkan YDP BKPPPM menafikan penglibatan PMRAM? Butiran di dalam surat menyebut antara syarat yang melayakkan seseorang tinggal di rumah tersebut mestilah menjadi ahli BKPPPM. Dalam butiran lain pula menyebutkan bahawa keahlian BKPPPM tertakluk kepada keahlian PMRAM. Maka persoalan yang lain, apakah rumah yang diamanahkan kerajaan negeri itu hanya berhak kepada ahli PMRAM sahaja? Ini yang difahami jika berdasarkan butiran surat tersebut, dan sudah pasti perlembagaan tidak didedahkan lagi.

5.       Menafikan Penglibatan PMRAM dalam Isu

Saya menyambut baik kenyataan YDP BKPPPM dan Presiden PMRAM yang menafikan penglibatan PMRAM dalam isu ini. Tetapi beberapa persoalan timbul, iaitu :

-          PMRAM membenarkan penggunaan letterhead rasmi kepada persatuan yang bernanung. Jika PMRAM bersungguh-sungguh ingin menafikan hal ini, saya mencadangkan agar letterhead rasmi itu ditarik semula dan menuntut agar BKPPPM memohon maaf kepada PMRAM  kerana telah mencemarkan nama PMRAM.
-         Seingat saya PMRAM menggunakan istilah PMRAM Cawangan kepada persatuan yang bernaung (BKAN/DPM) di dalam Muktamar Sanawi.

6.      Konspirasi

Saya mendapat komen daripada beberapa orang kenalan sama ada di Mesir atau di tempat lain, mungkin isu ini merupakan konspirasi ISMA untuk menjatuhkan PMRAM. Saya tidak ada jawapan untuk itu. Mungkin ya, mungkin tidak. Dan saya akui bahawa banyak perkara yang saya tidak bersetuju dengan ISMA, tetapi itu bukan isu kepada hal ini. Seperti yang saya jelaskan kepada beberapa orang kenalan, menurut pengamatan saya dalam isu ini terbina di atas dua asas ; diskriminasi dan perlembagaan yang tidak didedahkan.



Demikian pandangan kerdil saya di dalam isu ini. Bukanlah bertujuan untuk mengeruhkan keadaan, apatah lagi mencari musuh. Tetapi apa yang jelas, sebagai anak muda, seharusnya kita memulakan anjakan paradigma dan memasuki wacana baharu. Budaya berdialog, bersetuju untuk tidak bersetuju, toleransi, meraikan pandangan lain sekalipun bukan daripada kumpulan kita, bersepakat di atas isu yang bersifat asas adalah perlu diperkasakan. Anak muda seharusnya membentuk politik baharu, tidak lagi terikut dengan budaya lama yang merosakkan.

Sekian.