Friday, 13 April 2012

SISTEM PENDIDIKAN ; KE MANA HALATUJU?



Isu pendidikan bukanlah isu enteng yang boleh dipandang sebelah mata. Isu pendidikan merupakan isu tunjang dalam membina tamadun sesebuah masyarakat. Ia merupakan isu yang disepakati oleh semua pihak, walaupun di sana terdapat jurang pemisah lantaran perbezaan yang pelbagai. Justeru kita tidak dapat menafikan kepentingan dunia pendidikan, sama ada di negara maju atau negara membangun.

Saban tahun, negara kita khususnya melahirkan sejumlah pelajar yang mencapai nilaian gred tertentu dalam peperiksaan di setiap peringkat. Melalui pencapaian gred ini, setiap pelajar diklasifikasikan mengikut tahap. Mereka yang mencapai gred tertinggi akan dipandang sebagai pelajar cemerlang. Hakikatnya ia hanyalah sebuah nilaian di atas kertas dan tidak menjamin apa-apa maksud sekitar matlamat dasar sesebuah pendidikan.

Melihat perkemabangan institusi pendidikan tanah air, ternyata matlamat untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin tidak mampu dicapai. Ini kerana pendidikan hari ini hanya menjurus ke arah kecemerlangan untuk mendapatkan sebuah sijil, bukan untuk melahirkan seorang manusia. Justeru apa yang lebih membimbangkan ialah dunia pendidikan hari ini dipolitikkan untuk kepentingan tertentu. Akibatnya, segala usaha untuk mengeluarkan masyarakat dari dunia pembodohan tidak mampu dilakukan secara komprehensif.

3 Idiots dan Mayat Hidup

Ketika penulis berjaya mendapatkan segulung diploma, penulis tersentak dengan sebuah penulisan ringkas daripada seorang sahabat dan menginsafi bahawa dunia pendidikan hari ini tidak ubah seperti melahirkan mayat hidup. Mungkin istilah yang lebih sopan untuk digunakan ialah, dunia pendidikan hari ini hanya mampu melahirkan manusia berjiwa robot. Terdapat beberapa asas yang perlu diketahui oleh masyarakat bahawa dunia hari ini, khususnya Malaysia memiliki sejumlah bilangan robot yang tidak terkira banyaknya.

Mungkin sahaja kita pernah menonton sebuah filem berjudul “3 Idiots”. Filem tersebut mengisahkan realiti dunia pendidikan hari ini. Asas pertama yang perlu difahami ialah, kebanyakan pelajar hanya berusaha dalam pelajaran untuk mendapatkan sebuah penghargaan dalam bentuk sijil. Dan ia hanya ditulis dalam sehelai kertas. Sama ada tenaga pendidik mahupun yang dididik, semuanya bertumpu ke arah mendapatkan sebuah sijil.


Gambar Hiasan

Sudut positif yang boleh dilihat ialah pelajar akan bertungkus lumus dalam pembelajaran. Namun sudut negatif yang perlu diketahui, pelajar hanya terdidik untuk mengukur kecemerlangan mereka melalui sijil. Sedangkan tahap IQ manusia sudah pasti berbeza antara satu dengan yang lain. Kesannya, yang berjaya akan gembira sedangkan yang tidak berjaya akan berhadapan dengan perang perasaan yang boleh membawa kepada hilangnya kewarasan akal. Akibatnya, saban tahun kita akan mendengar kes bunuh diri berpunca dari kegagalan dalam peperiksaan. Hal ini terjadi kerana kita hanya mengukur kecemrlangan seseorang pada nialaian gred di atas sehelai kertas.

Asas kedua yang perlu difahami ialah, dunia pendidikan hari ini tidak mampu melahirkan sebilangan besar pelajar (baca : masyarakat) yang berfikiran kritis. Perlu untuk kita fahami bahawa berfikiran kritis itu adalah anjuran di dalam Islam dan ia merupakan salah satu daripada cirri-ciri generasi ulul albab. Ulul albab seperti yang ditafsirkan oleh para ulama’ ialah mereka yang memiliki akal yang sihat dan waras (ashabul ‘uqul). Dalam membahas aspek ulul albab ini, suka untuk penulis mendatangkan pandangan Syeikh Wahbah az-Zuhaili. Beliau menjelaskan bahawa untuk tergolong ke dalam generasi ulul albab perlu memiliki tiga senjata utama iaitu Al-Quran, ilmu dan kefahaman.

Mengapa penulis mengatakan bahawa dunia pendidikan hari ini tidak mampu melahirkan sebilangan besar masyarakat yang berfikiran kritis? Realiti yang didatangkan dalam filem tersebut ialah, segala yang datang daripada guru dan apa yang terkandung di dalam kitab tidak boleh dipersoal. Nah, itu adalah reality hari ini! Masyarakat hari ini dilarang sama sekali untuk mempersoal sesuatu perkara yang datang kepadanya, sama ada ia berbentuk ilmu pengetahuan mahupun isu semasa ataupun bentuk kefahaman dalam sesuatu perkara. Sedangkan soalan itu merupakan kunci pencarian, dan kebenaran itu mesti dicari!

Asas yang ketiga melalui filem tersebut ialah sebilangan besar masyarakat terdidik dengan sikap mengahafaz tanpa memahami. Analoginya seperti seekor burung kakak tua apabila diajar untuk berkata “selamat pagi”, maka ia akan berkata sedemikian tanpa memahami apa yg dituturkannya. Inilah realiti di dalam dunia pendidikan hari ini. ia merupakan asas yang berkait dengan asas sebelumnya. Bukanlah bermaksud untuk mengenepikan aspek hafazan, namun perlu untuk kita sedar bahawa di sana terdapat aspek yang lebih penting sebelum kita menghafaz.

Melihat kepada tiga asas penting dalam filem tersebut, maka kita tidak menafikan bahawa dunia hari ini dalam usaha melahirkan sebilangan besar robot atau mayat hidup. Mereka hanya boleh diprogramkan, namun belum pasti mereka mampu memberi manfaat yang besar kepada umat sejagat. Dan lebih malang lagi apabila generasi terdidik ini turut bersekongkol dengan dunia gelap atau lebih dikenali dengan dunia jenayah.

Memanusiakan Manusia

Seperti yang dijelaskan penulis, sistem pendidikan hari ini mempunyai kecacatan dan ketempangan dalam melahirkan insan yang berjiawa manusia. Kadar indeks jenayah yang dicatat setiap tahun tidak pernah menunjukkan bahawa ia akan mengalami kemerosotan serius. Tidak dinafikan indeks jenayah telah mencatatkan penurunan sebanyak 11.1 peratus namun ia masih lagi berada di tahap yang membimbangkan. Dan secara purata, jenayah yang berlaku melibatkan para belia remaja.


Gambar Hiasan


Jika dilihat kepada dasar pendidikan negara, ia bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara. Dalam erti kata lain, ia bertujuan mewujudkan manusia yang mampu menyumbang dalam mewujudkan sebuah negara yang progresif. Dan jika dilihat pada objektifnya yang lain sudah cukup untuk menerangkan hasrat pendidikan negara adalah untuk melahirkan individu yang berjiwa manusia. Tetapi, sebaliknya berlaku. Di manakah silapnya?

Melihat kepada sistem pendidikan hari ini yang hanya berorientasikan peperiksaan, maka sudah tentu kehendak seseorang untuk mendalami sesebuah ilmu bukan bertujuan untuk mengenali siapa Tuhannya, akan tetapi bertujuan untuk memperoleh apa yang dihajatinya. Maka tidak hairan jika kita mendengar pelbagai kes jenayah yang melibatkan masyarakat yang terdidik kononnya semakin meruncing. Oleh itu, adalah perlu untuk kerajaan merejuvinasi sistem pendidikan negara supaya berlakunya intergrasi antara aspek duniawi dan ukhrawi. Bahkan perkara ini perlu dikempen secara meluas kepada rakyat memandangkan hampir seluruh negara di dalam dunia ini mengguna pakai konsep demokrasi dalam dunia politik.

Pendidikan yang sepatutnya bukanlah hanya bertujuan untuk memenuhi keperluan tenaga yang berkemahiran dalam membina sebuah negara yang progresif, bahkan ia lebih luas. Sesebuah dasar yang tidak digabung jalin dengan soal untuk mengenali siapa Pencipta manusia sudah cukup untuk melahirkan individu yang berpendidikan tetapi tidak berjiwa manusia. Kerana itu di dalam Islam, aspek mengenali Tuhan sangat diberi penekanan. Dan secara pasti ia perlu diberi keutamaan untuk mendepani dunia global tanpa sempadan.


Ikhwan Hafiz
St.Theresa, Shoubra

Sunday, 11 March 2012

BERSYUKURKAH KITA?


Tentu sekali kita masih ingat didikan yang diberikan oleh kedua ibu bapa kita ketika kecil. Apabila mendapat sesuatu daripada orang lain, maka ucapan yang wajar diberikan ialah terima kasih. Tidak kira kepada siapa pun. Sudah menjadi fitrah manusia untuk mengasihi kepada mereka yang telah melakukan kebaikan terhadap dirinya. Apabila timbul rasa kasih, manusia akan lakukan apa sahaja untuk membals budi yang telah ditabur.

Itulah ketetapan daripada Allah. Yang berbudi, akan dibalas budinya. Tanah yang lapang jika diusahakan pasti menemui hasil. Itu cara kita berbudi dengan tanah.

Itu juga cara kita berterima kasih dengan tanah.

Gambar Hiasan

 Begitu juga halnya sesama manusia. Mereka yang melakukan kebaikan terhadap orang lain, pasti akan dibalas dengan kebaikan oleh orang tersebut. Sekurang-kurangnya dipanjatkan doa agar si dia diberkati dan dimurahkan rezeki.

 Itu cara kita berterima kasih dengan manusia.

Seperkara yang penting dan perlu untuk kita sedar bahawa setiap hari ada satu zat yang sentiasa ‘melakukan kebaikan’ (baca : memberi nikmat) kepada manusia. Bermula seawal pagi kita dibangunkan, masih diberi peluang untuk hidup dan menjalani kehidupan seharian sehingga kita kembali melelapkan mata. Bahkan ketika kita tidur, Zat itu juga yang menjaga tubuh kita daripada dirosakkan. Subhanallah!


Sedikit Yang Bersyukur

“…Dan amat sedikit dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur.”

Walaupun manusia dibelai dengan sifat ar-Rahman Zat Yang Maha Agung, ternyata amat sedikit mereka yang bersyukur. Lihat sahaja saban hari di dada akhbar, berapa ramai manusia yang mengkhianati kebaikan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Secara sedar atau tidak.

Bahkan, saban hari kita juga turut melakukan pengkhianatan terhadap anugerah yang telah Allah kurniakan. Kita persis si anak nakal, yang setiap hari melakukan kenakalan terhadap ibu bapanya. Namun akhirnya datang merayu memohon secicip belas kasihan. Setidaknya merengek manja ingin dibelai apabila ditimpa kesakitan.

Seperti itulah sikap kita dengan Maha Pencipta. Namun tidak pernah kita dilupakan. Bahkan tentu sahaja kita yang sering melupakan.

Rezeki kita sentiasa melimpah.

Aib kita tetap terpelihara.

Rahmat dan pengampunan sentiasa dihamparkan.

Oh, alangkah ruginya kita!


Syukur Itu Manifestasinya


Gambar Hiasan


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur."

Pernah di suatu malam, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah saya terfikir ayat yang sering dikupas oleh setiap penceramah ketika bulan Ramadhan. Ayat yang menceritakan kewajipan berpuasa bagi umat Islam. Dan di akhir ayat tersebut, Allah sudahi firman-Nya dengan kalimah “agar kamu bertaqwa”.

Di dalam ayat tersebut, Allah menjadikan taqwa sebagai manifestasi puasa orang yang beriman. Maka jika diperhatikan ayat Allah melalui surah an-Nahl ini, sifirnya juga adalah sama. Allah menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani supaya manusia bersyukur.

Ketetapan yang lazim bagi seorang manusia apabila lahir ke dunia, dia tidak memiliki sebarang pengetahuan. Kerana itu Allah telah menetapkan wahyu “Iqra’ “ sebagai gagasan yang perlu diberi perhatian oleh setiap manusia yang celik akal fikirannya.

Sejarah telah membuktikan, tertegaknya sebuah tamadun tidak dapat lari dari budaya ilmu pengetahuan. Berdirinya sebuah kemegahan di dalam fasa sejarah manusia tetap dihiasi dengan ilmu.

Asalnya tidak tahu, akhirnya menjadi tahu.

Maka, apa pula kaitan kita dilahirkan dalam keadaan tidak tahu, dikurniakan pula pendengaran, penglihatan dan hati nurani, akhirnya supaya kita menjadi hamba yang bersyukur?

Seperti yang telah kita sedia maklum, budi baik tentu dibalas baik. Tentu sahaja Allah mampu jadikan kita seorang yang berilmu secara tidak sedar apabila lahir ke dunia. Namun sudah pasti manusia akan merasa lebih bongkak, kononnya ia adalah miliknya dan kehebatannya.

Nah, kerana itu Allah menjadikan segala jenis panca indera! Supaya kita bersyukur, dengan cara kita menggunakannya untuk menjadikan kita tahu daripada tidak tahu.

Pendengaran yang dikurniakan, untuk mendengar ilmu yang disampaikan.

Penglihatan yang diberikan, kita perlu membaca dan melihat.

Hati nurani yang baik adalah untuk menilai segala yang datang kepada kita dan memilih apa yang terbaik untuk diikuti.

Inilah sifat ulul albab yang telah Allah nyatakan di dalam al-Quran. Persoalan yang perlu kita ajukan untuk diri kita, bersyukurkah kita?

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”


Ikhwan Hafiz
St. Theresa, Shoubra
11 Mac 2012

Tuesday, 20 December 2011

DAMAI YANG ABADI






Aku merenung masa depan
Aku melihat alam ciptaan Tuhan
Aku memerhati setiap kejadian

Aku mencari sinar yang sudah lama diimpi
Aku mencari sebuah harga diri
Aku mendambakan maruah bagi umat ini
Maruah yang pernah dijulang tinggi
Setinggi langit membiru

Aku terkenang sebuah nostalgia
Tika umat dalam gelita dan tipu daya
Lahir seorang insan yang kini dipuja
Ketika hidupnya sering dihina dan dinista
Mereka mengatakan dia gila
Mereka mencemuhnya sebagai pendusta
Sedangkan dia rasul mulia
Sedangkan dia kekasih Yang Maha Kaya

Pejuangannya bukanlah omongan kosong
Ajarannya untuk membetulkan yang terpesong
Datang meluruskan akhlak yang indah
Melalui pedoman sunnah
Wahyu yang turun segera diterjemah

Masa silih berganti
Generasi terus datang dan pergi
Namun masih ada yang menyimpan dengki
Dendam kesumat menghapus damai abadi
Kerana ego tersimpan di hati
Kerana hati sudah mati
Ditolaknya nur Ilahi
Dibuangnya sifat insani
Hanya kerana sebuah iri

Apalah nasib umat
Saban hari ditipu dan dicincang lumat
Jiwa kita malas
Hati kita culas
Akal yang perlu diisi dibiarkan sepi
Iman yang perlu dibaja hanya sesekali cuma
Apatah lagi membina taqwa

Di sana ada tangisan
Di sana ada keluhan
Maruah dicalari dengan sebuah kealpaan
Dahulunya megah di puncak kini hanya di pinggiran
Menanti sebuah sinaran
Yang hilang dek alpanya insan

Bangunlah wahai umat
Bangunah dari alpa dan lena
Di sana ternanti sebuah derita
Siapa lagi yang mahu menyeka air mata mereka
Siapa lagi yang mahu mencipta sebuah bahagia

Ayuh wahai umat
Kita cincang mereka dengan lumat
Dengan segala jerih dan keringat
Ilmu dicari iman diperhebat
Kita bunuh kezaliman
Kita baja keadilan
Kita buang kesumat
Kita semai rahmat

Agar hidup ini kembali berseri
Dengan sebuah damai abadi…



Ikhwan Hafiz
St.Theresa Shoubra
20 Disember 2011     11.37 a.m


p/s : Puisi ini telah disiarkan di dalam laman rasmi Kem Latihan Penulis (KELAP) PMRAM.

Saturday, 26 November 2011

HIJRAH GERBANG KEJAYAAN



Peta Hijrah

Firman Allah s.w.t:

Mafhumnya : Dan sesiapa Yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah Yang banyak dan rezeki Yang makmur; dan sesiapa Yang keluar dari rumahnya Dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saban tahun umat Islam akan menyambut kedatangan tahun baru hijri. Saban tahun juga akan kedengaran ceramah-ceramah, seruan serta azam baru yang dipasang oleh sebilangan besar masyarakat Islam. Dan tidak terlepas juga bagi masyarakat Malaysia yang seringkali menganjurkan majlis Maal Hijrah, lalu menganugerahkan tokoh maal hijrah kepada individu-individu tertentu. Sudah tentu ia menjadi satu dorongan dan semangat bagi uamt Islam untuk terus berjaya.

Apa yang perlu kita perhatikan bukanlah acara adat dan juga majlis-majlis yang diadakan saban tahun. Kita juga sudah biasa mendengarkan kisah-kisah hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat, jerih-perih yang dilalui generasi awal Islam sehingga Islam mampu tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Saya begitu yakin dan percaya, seawal usia enam tahun lagi kita sudah mengingati kisah perjuangan suci generasi awal Islam.

Namun yang perlu kita berikan perhatian ialah apa yang terkandung di dalam hijrah itu sendiri. Ke mana pengakhiran hijrah dan apakah manifestasi hijrah. Perakara-perkara inilah yang sepatutnya dihayati dan cuba diterapkan dalam kehidupan kita seharian, supaya ia menjadi kunci kepada sebuah kehidupan yang gemilang.


Ada Apa Dengan Hijrah?

Saya tidak berhajat untuk menceritakan semula kisah penghijrahan Nabi s.a.w ke Madinah al-Munawwarah. Namun, perlu untuk kita koreksi serba ringkas tentang persoalan ini. Ada apa dengan hijrah?

Sebelum hijrah, umat Islam ketika itu dalam keadaan yang cukup lemah. Penindasan terhadap umat Islam berlaku di mana-mana. Ada yang diseksa sehingga menemui ajal. Kesabaran mereka dalam menempuhi ujian keimanan ini sudah tentu tidak layak untuk umat yang terkemudian ini menafikannya. Kesabaran mereka membuahkan hasil apabila turunnya wahyu yang memerintahkan supaya mereka berhijrah.

Namun, ada apa dengan hijrah?

Di sinilah bermulanya sebuah kejayaan yang gemilang. Di sinilah bermulanya langkah untuk mencapai sebuah kebahagiaan yang abadi. Bermula dengan penghijrahan Nabi s.a.w, Islam mampu membina empayar tersendiri. Beridiri megah mengatasi kuasa besar dunia ketika itu yang menjadi milik Rom dan Parsi.

 Hijrah merupakan cetusan awal kejayaan umat Islam.

Bermula dengan hijrah, Rasulullah mengasaskan sebuah negara contoh yang terkandung nilai-nilai murni. Melalui hijrah, umat Islam mampu membina sebuah kejayaan yang gemilang.

Benar, kejayaan ialah manifestasi kpd hijrah. Tetapi, kejayaan juga tidak datang bergolek.


Elemen Kejayaan

Mungkin kita sudah tahu akan kisah yang sangat masyhur, seorang pemuda yang telah membunuh 100 orang dan ingin bertaubat. Maka jawapan yang diperoleh pemuda tersebut ialah HIJRAH.

Beliau harus berhijrah. Kerana taubat itu kejayaan. Dan kejayaan hanya akan ditemukan melalui hijrah.

Saya sempat mengikuti sebuah ceramah yang bertemakan maal hijrah bersama teman-teman sepengajian di Mesir. Menarik untuk disimpulkan bahawa kejayaan itu tidak datang bergolek. Dan sudah pasti kejayaan itu perlukan kepada beberapa ‘tiang seri’.

Tiga elemen yang mungkin boleh ditemui melalui kisah hijrah Nabi s.a.w ini ialah konsep ‘ubudiyyah (kehambaan kpd Tuhan), masuliyyah (peranan dan tanggungjawab) dan itqan (kesungguhan).

Merenung semula kisah hijrah, Rasulullah telah meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah s.w.t dalam menjayakan misi hijrah Baginda. Munajat dan motivasi ketuhanan yang sering diucapkan Baginda kepada para sahabat telah menjadikan diri mereka terdidik dengan acuan yang indah. Kerana sudah tentu kita meyakini bahawa Allah s.w.t merupakan sebaik-baik perancang dan berkuasa ke atas hamba-Nya. Maka jelas bahawa, konsep mengabdikan diri kepada Tuhan merupakan kunci utama sebuah kejayaan.

Sudah pasti kejayaan tidak akan datang sekiranya tiada seorang manusia yang ingin mendapatkannya. Seorang lelaki tidak akan berjaya menjadi suami yang baik kepada isterinya jika si lelaki tidak memahami peranan dan tanggungjawabnya. Maka rumah tangga akan menjadi kucar-kacir. Justeru, memahami peranan itu sangat perlu dalam membina sebuah kehidupan yang kondusif.

Begitu juga halnya dalam mendapatkan sebuah kejayaan. Memahami peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan merupakan salah satu jalan untuk mendapatkan kejayaan. Beberapa karakter penting dalam kisah hijrah ini secara jelas menunjukkan bahawa, untuk mencapai nikmat kejayaan, maka kerja-kerja yang dilakukan mestilah dalam keadan saling membantu. Bekerja secara kolektif adalah lebih memudahkan berbanding bekerja sendirian.

Boleh sahaja jika Allah s.w.t ingin memenangkan Baginda s.a.w dalam misi hijrah ini tanpa bantuan daripada sesiapa pun. Namun, di sana terdapat pengajaran yang sangat berguna untuk kita generasi yang terkemudian.

Kita juga melihat kesungguhan Baginda s.a.w dalam melaksanakan misi hijrah Baginda, sekalipun mendapat tentangan kaum Quraisy. Kesungguhan ini terbukti melalui taktikal yang sangat menarik, dibantu pula dengan pertolongan daipada Allah yang sememangnya tidak dijangka. Jelas kepada kita, perancangan yang penuh teliti amat diperlukan untuk melengkapkan syarat bagi mencapai sebuah kejayaan.


Kita Perlu Berubah

Melihat kepada sirah hijrah Nabi s.a.w, secara tidak langsung kita akan menemukan HIKMAH. Kebijaksanaan yang ditunjukkan Baginda s.a.w merupakan sebab terpenting misi hijrah berjaya. Maka, kita perlu mencari hikmah dalam merangka sebuah kejayaan yang gemilang.

Hikmah ini tidak akan mampu dimiliki sekiranya dada kita kosong dengan pengetahuan. Maka perlunya untuk kita berhijrah dari sikap yang lama kepada sikap yang baru. Sikap yang menjadikan kita umat yang tertindas di alaf ini kepada sikap yang mampu menjadikan kita sebagai penyebar rahmat untuk agama ini.

Hijrahlah, dari sikap yang dahulu malas dan mengambil mudah dengan ilmu kepada sikap cakna kepada ilmu.

Hijrahlah, dari sikap yang dahulu sempit dalam ruangan perbezaan kepada sikap terbuka dengan perbezaan.

Hijrahlah, dari sikap yang dahulu selesa didominasi kepada sikap perlu mendominasi.

Hijrahlah. Di sana terdapat kemanisan dan kejayaan. Sama ada kemenangan dan kejayaan di dunia, atau pahala yang berterusan sehingga akhirat kelak.

Hijrah, ia gerbang kejayaan!


Ikhwan Hafiz
Dawran Shoubra
25 November 2011    10.42  p.m

Sunday, 6 November 2011

SALAM AIDIL ADHA 1432H


ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
WA LILLAHIL HAMD

Firman Allah s.w.t:

“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “ Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari kalangan orang yang bersabar” as-Saffat; 102

Aidul adha kembali menjengah, membawa seribu satu kisah pengorbanan yang sewajarnya kita hayati. Kisah pengorbanan pertama yang berlaku, pembunuhan Habil yang dibunuh saudara kandungnya Qabil, ditambah dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimassalam merupakan pengajaran yang amat berharga yang perlu untuk dihayati.

Seperti ‘aidul Fitri, ‘aidul adha juga bukan merupakan satu perayaan adat. Menjelang 10 Zulhijjah maka bergema semula takbir di angkasa, memecah segala kesunyian. Pada hari ini juga, disyariatkan ibadah haji kepada umat Islam.Namun, ia bukanlah satu adat akan tetapi ianya mempunyai makna yang cukup tersirat. Hikmah Allah menjadikan hari ini sesuai dengan keperluan semasa.

Jihad dan pengorbanan merupakan dua elemen yang berkait rapat. Kedua-duanya memerlukan satu elemen tambahan yang akan menghasilkan natijah yang sempurna. Itulah elemen kesabaran. Apa-apa perkara yang mampu menguntungkan Islam, yang mampu mengangkat semula martabat Islam dipanggil jihad. Dan jihad memerlukan kepada pengorbanan yang sangat tinggi. Mana mungkin jihad mampu terhasil jika tidak disertakan dengan pengorbanan. Pengorbanan pula perlulah disertakan dengan kesabaran kerana tujuan jihad itu sendiri adalah untuk menggapai redha Allah.

Kembali berpijak di bumi yang nyata. Manusia yang hidup pada hari ini semakin hari semakin jauh dari undang-undang Allah s.w.t. Jangan kita menyangka undang-undang Allah itu hanya berkisar undang-undang pemerintahan negara, akan tetapi undang-undang terhadap individu juga termasuk dalam erti kata undang-undang Allah s.w.t. Kita sering kali membicarakan perihal masyarakat luar yang semakin parah dan kronik dengan gejala sosial yang melanda. Propaganda yang dibawa oleh musuh Islam telah menjadikan umat Islam hari ini semakin lemah dan jauh tersasar dari hala tuju yang sebenar. Namun, perlu juga untuk kita sedari bahawa propaganda ini juga yang telah meresap masuk ke dalam diri dan pemikiran masyrakat Islam hari ini.

Merenung kembali apa yang pernah diperkatakan oleh Syeikhuna Abul A’ala al-Maududi di dalam makalahnya, Manhaj Hidup Muslim. Sememangnya Al-Quran itu tinggi tempatnya, tetapi kita yang merendahkannya. Melakukan kezaliman terhadap Al-Quran bukan hanya bererti meletakkan Al-Quran itu di tempat yang kotor mahupun di tempat yang rendah, tetapi jika mengabaikan segala yang termaktub di dalamnya juga merupakan satu kezaliman yang besar.

Kita mengetahui, Allah telah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai qudwah hasanah. Ketika ditanya kepada saiyidatuna ‘Aishah radhiyallahu ‘anha tentang akhlak Baginda, maka Ummul mu’minin ‘Aisyah mengatakan bahawa akhlak Baginda itu adalah Al-Quran. Muhasabahlah semula, di mana tingkatan akhlak kita. Bagaimana akhlak kita dengan diri kita, bagaimana akhlak kita dengan masyarakat, dan yang paling penting bagaimana pula akhlak kita dengan Allah s.w.t.

Pernah satu ketika, saat pulangnya Ibrahim bin Ablah dari satu peperangan. Ibrahim bin Ablah berkata kepada tenteranya bahawasanya mereka pulang dari jihad yang kecil (peperangan) kepada jihad yang besar (melawan hawa nafsu). Seperti yang dinyatakan, jihad memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran. Untuk mencontohi model yang ditunjukkan Baginda bukanlah mudah kerana ianya amat bertentangan dengan nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Justeru hanya hati yang sentiasa berpaut pada Allah sahaja yang bakal melepasi ujian ini. Perkara asas yang perlu diambil kira ialah nilaian ketaqwaan kita kepada Allah. Hanya pengorbanan orang yang bertaqwa sahaja yang bakal diterima oleh Allah seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-Maidah ayat 27.

Wallahu a’alam..

Sekian

Ikhwan Hafiz
Kaherah, Mesir

p/s : artikel ini disiarkan semula. Ditulis pada tahun 2009 seawal saya dilantik menjadi Yang Dipertua PERKEMAT DQ sesi 2009/2010.