Thursday 13 March 2014

Kefahaman Islami Tentang Konsep Kewarganegaraan.

Konsep warganegara merupakan sebuah konsep yang datang daripada sebuah kefahaman yang menunjukkan bahawa wujudnya hubung saling antara seorang individu yang menjadi warganegara dengan negara di tempat individu tersebut menggabungkan diri dengannya dan hidup di dalamnya. Ia merupakan sebuah konsep hubung saling kerana terdapat kewajipan yang dikenakan ke atas keduanya –individu warganegara dan negara- dari sudut hak dan tanggungjawab. Maka, untuk membangunkan konsep kewarganegaraan ia memerlukan –secara pasti- seorang individu warganegara itu menggabungkan diri dan patuh serta setia yang penuh terhadap negara, menghormati identitinya di samping mempercayai, mendokong dan mempertahan identitinya yang terdiri daripada unsur-unsur yang menjadi prinsip asas padanya seperti bahasa, sejarah, nilai dan adab yang umum, dan bumi yang mencerminkan ciri-ciri identitinya dan kewarganegaraannya.

Patuh serta setia seorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan dirinya untuk berlepas diri daripada musuh negaranya. Sepertimana hak yang perlu ditunaikan seorang warganegara ke atas negaranya, maka begitu juga tanggungjawabnya yang perlu dilunaskan negara, bangsa dan keseluruhan warga. Antara hal yang terpenting di dalam aspek ini ialah prinsip persamaan pada kesetaraan peluang, menafikan diskriminasi atau perbezaan hak sama ada dari sudut politiknya, kemasyarakatan, mahupun ekonomi disebabkan perbezaan warna, darjat atau pangkat, bahkan kepercayaan, di samping merealisasikan semangat saling membantu di dalam masyarakat yang akhirnya menjadikan setiap warga dan bangsa itu seperti jasad yang satu.

Apabila merujuk kepada perkembangan tamadun barat, pada awalnya mereka tidak mengenali makna serta konsep kewarganegaraan serta hak-haknya melainkan setelah berlakunya revolusi Perancis yang disebabkan (berlakunya revolusi tersebut) perbezaan terhadap asas agama –antara Katolik dan Protestan- juga disebabkan rasisme, diskriminasi gender –diskriminasi terhadap wanita- dan juga disebabkan perbezaan warna. Sesungguhnya konsep kewarganegaraan yang menyeluruh dan sempurna itu –pada hak dan kewajipan- telah datang bersama Islam dan ia menjadi antara asas penubuhan negara Islam pertama –Madinah al-Munawwarah- pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka insan itu pada hakikat pandangan Islam ialah semata-mata insan. Kemuliaan insan yang diberikan Tuhan meliputi keseluruhan bani Adam (manusia), dan wacana al-Quran merujuk secara asasnya kepada keseluruhan manusia, dan kriteria yang melebihkan seseorang itu hanyalah taqwa yang dibukakan peluang kepada semua manusia. Negara Islam yang diasaskan telah meletakkan falsafah kewarganegaraan pada pelaksanaan dan penetapan bernegara, dan ia digazetkan melalui perjanjian dan perlembagaan sejak detik pertama ketika penubuhan negara ini pada tahun pertama hijrah.

Pada awal perlembagaan negara ini, ia telah dibangunkan oleh umat di atas kepelbagaian agama, dan ia menjadi bantuan, tauladan dan kebaikan kepada mereka yang terikat dengan sahifah ini. Mereka menyamai golongan mukmin selama mana mereka berjuang untuk kedaulatannya, ke atas golongan Yahudi perlunya perbelanjaan yang mesti dikeluarkan dan begitu juga ke atas muslimin, antara mereka diberikan bantuan jika ada yang memerangi ahli sahifah, dan antara mereka segala bentuk nasihat dan kebaikan selain daripada hal dosa. Demikianlah terasasnya konsep kewarganegaraan, dengan Islam, pada negara Islam ketika berhimpunnya umat dalam agama yang pelbagai, secara sama rata, untuk kali pertama dalam sejarah.

Dan ketika bermulanya ikatan antara kerajaan negara Islam –pada zaman Rasulullah s.a.w- dengan golongan beragama daripada Nasrani –Nasrani Najran pada tahun 10 hijrah- telah ditetapkan kepada mereka –melalui perjanjian- hak sama rata yang penuh pada hak-hak warganegara dan kewajipannya. Dan syiarnya ialah, “bagi mereka apa yang diperoleh kaum muslimin, dan ke atas mereka apa yang dikenakan ke atas kaum muslimin”. Telah ditetapkan melalui perjanjian yang ditulis oleh (pihak) Rasulullah s.a.w kepada golongan Nasrani Najran –dan kepada setiap penganut Nasrani setiap masa dan tempat- bahawa, “untuk setiap daripada golongan Najran dan yang bersangkutan dengannya, dan juga untuk mereka yang menganut kepercayaan Nasrani di setiap tempat, mereka berada di bawah perlindungan Allah dan jaminan Muhammad Rasulullah, ke atas harta, nyawa dan agama mereka..dan perniagaan mereka serta apa yang mereka miliki, aku menjamin dan melindungi serta mempertahan gereja mereka, perniagaan mereka dan rumah ibadat mereka, juga tempat paderi-paderi mereka dan tempat bersejarah.. Dan aku mengawasi agama dan kepercayaan mereka sepertimana aku memelihara diriku, keistimewaanku dan orang Islam daripada agamaku.. Kerana aku memberikan mereka perjanjian dengan Allah, bahawasanya bagi mereka apa yang diperoleh kaum muslimin, dan ke atas mereka apa yang dikenakan ke atas kaum muslimin, dan ke atas kaum muslimin apa yang dikenakan ke atas mereka, sehingga menjadikan kaum muslimin itu rakan persepakatan pada apa yang mereka peroleh dan apa yang dipertanggungjawabkan..”.

Dam ketika Islam mengharuskan perkahwinan antara seorang lelaki muslim dengan seorang perempuan ahli Kitab –Yahudi mahupun Nasrani- telah diletakkan asas berkaitan hal tersebut bahawa perkahwinan tersebut mestilah menjadikan lelaki muslim itu menghormati akidah perempuan tersebut dengan penghormatan yang sempurna. Dan pastinya perkahwinan tersebut diredai ahli keluarga perempuan tersebut (baca : ibu bapa). Dan telah ditunjukkan dalam perjanjian Rasulullah s.a.w kepada golongan Najran tentang hal perkahwinan tersebut, “Dan jangan kamu menikahkan seseorang itu secara melampau dengan apa yang tidak dikehendaki olehnya, dan jangan kamu memaksa anak perempuan kamu untuk mengahwini lelaki muslim, kerana hal demikian (perkahwinan) tidak berlaku melainkan dengan kerelaan hati, sekiranya menyukai dan meredai.. Dan apabila seorang perempuan Nasrani menjadi isteri di sisi seorang lelaki muslim, maka ke atasnya untuk menghormati agama isterinya, membenarkan isterinya mengikut apa yang ditetapkan pemimpin agamanya, dan mengamalkan ajaran agamanya, dan tidak melarang isterinya pada itu, maka barangsiapa yang menyalahi hal demikian dan memaksa isterinya mengikut apa yang ditetapkan oleh agama si suami, maka ia telah menyalahi perjanjian Allah dan merosakkan perjanjian rasul-Nya, dan dia di sisi Allah dilihat sebagai penipu”.

Bahkan, dijelaskan bahawa konsep persamaan Islamiyyah untuk mereka (bukan muslim, dalam hal ini disebutkan Nasrani Najran) –ketika di saat keperluan- turut merangkumi hal mendirikan rumah-rumah ibadat serta membaikinya. Telah disebutkan melalui perjanjian Nabi bahawa, “dan bagi mereka  –apabila memerlukan kepada pembaikan rumah ibadat dan gereja mereka, atau sesuatu daripada kebaikan urusan mereka dan agama mereka- kepada isyarat (iaitu pertolongan) daripada kaum muslimin dalam membantu mereka, mereka akan dapati kaum muslimin akan menolong mereka terhadap hal yang demikian, tanpa menganggap ia sebagai suatu hutang ke atas mereka, bahkan ia adalah bentuk menunaikan janji Rasulullah s.a.w kepada mereka dan kebaikan Allah dan rasul-Nya untuk mereka..”. Bahkan dalam soal harta dan ekonomi –misalnya dalam hal ehwal cukai- telah ditunjukkan secara jelas melalui perjanjian Rasulullah s.a.w kepada golongan Nasrani Najran bahawa, “janganlah menzalimi mereka (Nasrani Najran), jangan memberatkan mereka melebihi kemampuan mereka dalam melakukan kerja-kerja tanaman dan memetik hasilnya, janganlah melampaui batas kepada mereka dan yang sama dengan mereka..”.

Setiap hak-hak persamaan dalam konsep kewarganegaraan, yang telah ditetapkan oleh Islam kepada bukan Islam dalam negara Islam dizahirkan dengan syiar, “bagi mereka apa yang diperoleh muslimin dan ke atas mereka apa yang dipertanggungjawabkan ke atas muslimin, dari sudut penjagaan nyawa, darah, harta-benda, tempat-tempat ibadat dan kebebasan.” merupakan penerimaan penuh konsep patuh dan setia yang sempurna kepada negara dan menggabungkan diri secara sepenuhnya kepada masyarakat, negara dan umat. Ia merupakan kewajipan ke atas semua warganegara, sama ada muslimin atau bukan muslim. Sebagai menyokong kewajipan ini, disebutkan di dalam perjanjian Rasulullah, bahawa, “dan disyaratkan ke atas mereka perkara-perkara yang wajib ke atas mereka dalam agama mereka iaitu berpegang tegu dan setia dengan janji yang telah diikat, antaranya adalah tidak menjadi sebahagian daripada golongan yang memerangi kaum muslimin dengan senjata, kuda perang dan tenteranya, dan juga selainnya, serta tidak berkomplot dengan mereka itu –dengan cara menyembunyikan segala rahsia dan kelemahan kaum muslimin daripada musuh..”.

Demikian juga dijelaskan di dalam perjanjian Rasulullah s.a.w kepada golongan Nasrani Najran berkaitan kebebasan beragama. Disebutkan bahawa, “dan janganlah memaksa seseorang yang menganut kepercayaan Nasrani untuk memeluk Islam : (Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang yang zalim di antara mereka, dan katakanlah, kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu satu, dan hanya kepada-Nya kami berserah diri) al-Ankabut 29 ; 46.

Dan hendaklah melebarkan sayap rahmat kepada mereka, menghilangkan segala yang mencelakakan ke atas mereka, di mana sahaja di dalam negara ini.

Bahkan, prinsip persamaan yang sempurna di dalam konsep kewarganegaraan ini serta kewajipan-kewajipannya –bagi mereka apa yang diperoleh kaum muslimin dan ke atas mereka apa yang dieprtanggungjawabkan ke atas kaum muslimin, dan ke atas muslimin juga apa yang dikenakan ke atas mereka, sehingga terjadinya antara kaum muslimin dan mereka itu rakan persepakatan pada hak dan tanggungjawab- tidak hanya terhenti pada ahli Kitab –Yahudi dan Nasrani- sahaja. Prinsip ini juga meliputi semua jenis agama yang dicipta seperti Majusi dan selainnya. Selepas pembukaan Parsi suatu ketika dahulu, Khalifah Umar al-Khattab mendatangi majlis shura yang dianggotai seramai 70 orang, dan beliau berkata, “Kita sedia maklum soal berinteraksi dengan golongan Yahudi dan Nasrani, maka bagaimana pula kaedahnya dengan golongan Majusi? ” Lalu muncul Abdurrahman ibn ‘Awf r.a dan berkata, “Aku bersaksi bahawa aku telah mendengar daripada Rasulullah s.a.w yang menyebutkan (tentang hal ini) : santuni mereka seperti kamu santuni ahli Kitab.

Maka sepanjang tempoh sejarah yang panjang itu telah menyaksikan bagaimana Negara Islami berinteraksi dengan penganut agama lain sama ada Majusi, Hindu, Budhha dengan cara mereka berinteraksi dengan ahli Kitab, yang telah ditetapkan prinsip dan perjanjiannya oleh Nabi s.a.w terhadap mereka yang bukan muslim di dalam negara Islam.

Barat hanya mengenali konsep kewarganegaraan dan hak-haknya melalui keruntuhan agama selepas menularnya faham sekular yang menyerang gereja-gereja di barat. Demikian itu maka tercetusnya konsep warganegara mengikut fahaman sekular. Sesungguhnya Islam adalah agama yang menghidupkan konsep kewarganegaraan ini, syariatnya pula yang menetapkan hak-haknya. Oleh yang demikian maka terjamin kesucian pada hak-haknya sehingga tidak berlakunya sesuatu pemberian yang diizinkan pemerintah atau hakim dan tidak pula menghalangi yang lain. Ia disimpulkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai, “barangsiapa yang menyalahi perjanjian Allah dan merosakkan perjanjian rasul-Nya, dan dia di sisi Allah dilihat sebagai penipu”. Oleh yang demikian, penetapan Islam pada perlembagaan negara Madinah –iaitu al-Shari’ah al-Islamiyyah- merupakan jaminan kepada segala hak dan kewajipan dalam konsep warganegara. Ia juga merupakan sumber rujukan ketika berlakunya perselisihan, seperti yang ditunjukkan di dalam perlembagaan tersebut, “bahawasanya apabila berlakunya perselisihan dalam kalangan ahli sahifah yang ditakuti membawa kepada kerosakan, maka jalan kembalinya ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah”.

Demikian merupakan pembaharuan yang telah dilakukan di dalam Islam –agama sebagai cara hidup, negara dan tamadun- iaitu prinsip persamaan yang penuh pada segala hak warganegara serta kewajipannya sebelum kurun keempat belas, ketika semua negara dan tamadun tidak mengenali antara satu sama lain.

Warganegara Athens, suatu ketika, terdiri daripada mereka yang bebas dan pemimpin yang dimuliakan dari Yunani, dan selain mereka adalah golongan Barbar yang tidak langsung tidak mempunyai sebarang hak. Demikian keadaan yang berlaku dalam tamadun dan kerajaan Rom. Sedang Islam pula telah menetapkan, menggazetkan dan mengimplementasi prinsip persamaan yang penuh di antara rakyat dalam sebuah negara Islami, pada kesetaraan peluang, pada menghormati nyawa, darah, harta-benda, kepercayaan, kebebasan, dan semua itu terbuka seluasnya kepada setiap daripada mereka yang mempunyai kepercayaan dan agama yang berbeza, mazhab yang berlainan, maka mereka bersepakat dalam membentuk tamadun Islam dan mencipta sejarah Islam.

Sunnah Nabawiyyah merupakan jalan penjelasan daripada Nabi terhadap makna al-Quran. Maka, perjanjian yang dibuat oleh Nabi s.a.w yang telah digazetkan hak warganegara dan kewajipannya merupakan bentuk sunnah qawliyyah (perkataan) yang telah diimplementasi menjadi sunnah ‘amaliyyah (perbuatan). Dan hal ini tidak mungkin terdapat ruang untuk sebarang usaha yang kontradik, tanpa melihat dan mengambil kira kedudukan mereka yang mencipta hal tersebut. Sejarah Islam telah menyaksikan beberapa pandangan sejarah yang pelbagai berkaitan hal bukan muslim di dalam masyarakat Islam, dan kebanyakannya menghasilkan beberapa tindakan politik dan ancaman daripada luar. Tetapi secara asasnya, lembayung Islam iaitu al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya, terkandung di dalamnya hukum yang adil pada persoalan kewarganegaraan dan pembentukan kesatuan warganegara yang telah ditetapkan Islam.



*Terjemahan dan olahan daripada tulisan artikel pembukaan Dr Muhammad ‘Imarah berjudul (المفهوم الإسلامى للمواطنة) yang diterbitkan di dalam Majalah Al-Azhar, edisi Mac 2014 / Jamadil Awal 1435.

No comments:

Post a Comment