Sunday 1 December 2013

PANDANGAN SAYA BERKAITAN ISU SURAT

Saya hanyalah ahli biasa PMRAM dan bukanlah individu yang berautoriti untuk memberikan respon terhadap isu yang berlaku dan hangat diperkata sejak semalam. Tetapi pandangan ini merupakan hasil pemerhatian dan pencarian saya, bagaimana kita melihat isu ini dan menilai fakta dan hujah yang disebutkan.

Sebelum kita pergi jauh, ada baiknya jika kita meneliti hujah berikut.

ISMA Mesir : http://ismamesir.net/v3/?p=8797

YDP BKPPPM : http://pmram.org/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2428:kenyataan-rasmi-ydp-bkpppm-berhubung-isu-surat-untuk-tidak-layak-menetap-di-asrama&catid=77:personal-tech

Presiden PMRAM : http://pmram.org/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2429:kenyataan-rasmi-pmram-isu-surat-makluman-untuk-tidak-layak-menetap-di-asrama-pulau-pinang-mesir&catid=55:kenyataan&Itemid=412

Pandangan yang akan saya kemukakan akan dipecahkan mengikut point-point berikut.

1.        Diskriminasi

Yang menjadi asas kepada panasnya isu ini ialah surat yang dikeluarkan oleh BKPPPM dengan menggunakan letterhead PMRAM. Saya mendapat penafian daripada beberapa ahli PMRAM (dan saya juga ahli PMRAM) bahawa isu yang sebenar adalah sdr Rusydan dengan rela hati bersetuju untuk keluar daripada rumah tersebut. Baiklah, saya tiada masalah dalam hal tersebut.

Perkara yang lebih perlu kita pandang adalah soal diskriminasi yang terkandung dalam isi surat, apabila sdr Rusydan diberikan pilihan sama ada kekal bersama ISMA atau tinggal di rumah Pulau Pinang. Saya tidak pasti sama ada ia bertepatan dengan undang-undang tubuh BKPPPM atau tidak, memandangkan saya bukanlah ahli BKPPPM. Jika dibaca surat tersebut, ia memberi kefahaman bahawa syarat selain daripada kumpulan yang diiktiraf PMRAM, maka mereka yang lain tidak berhak sama sekali untuk mendiami rumah tersebut.

2.       Perlembagaan

Hal ini merupakan isu asas dan seringkali saya ulang sebut di dalam status-status terdahulu. Soal perlembagaan telah saya suarakan di peringkat cawangan dengan harapan agar ia dibawa ke atas dengan penegasan bahawa perlembagaan mesti didedahkan kepada pengetahuan ahli. Dan saya telah pun mencadangkan sebelum ini, jika perlembagaan tidak mampu diedarkan kepada semua ahli, pihak persatuan boleh lampirkan di dalam blog rasmi mereka. Tetapi hal itu tidak berlaku, termasuklah di cawangan yang saya berada sekarang.

Ada yang memberi komen, sesetengah cawangan akan menjual perlembagaan itu kepada ahli ketika Mesyuarat Agung Tahunan (MAT). Sesiapa yang tidak sempat untuk membeli ketika itu, ia boleh dibeli ketika hari lain melalui jawatankuasa persatuan. Persoalan yang timbul, saya difahamkan bahawa setiap cawangan (BKAN dan DPM) mempunyai perlembagaan tersendiri. Maka apakah yang dijual dan diedarkan itu perlembagaan BKAN/DPM atau termasuk sekali perlembagaan PMRAM yang tidak pernah diketahui ahli, malah seingat saya tidak ada dijual ketika Muktamar Sanawi PMRAM.

Merujuk kepada isi kandungan surat yang menyebut bahawa untuk menetap di rumah tersebut (Pulau Pinang) mestilah menjadi ahli yang sah kepada BKPPPM sama secara tetap atau bersekutu.

Saya tidak pasti sama ada sdr Rusydan menjadi ahli yang sah atau tidak. Tetapi merujuk kepada point lain di dalam surat tersebut, syarat-syarat menjadi ahli BKPPPM :

-          Tidak mendaftar namanya untuk menjadi ahli mana-mana badan/persatuan yang berbau politik.
-          Keahlian BKPPPM tertakluk kepada keahlian PMRAM.

Persoalan yang paling asas sekali ialah, apakah syarat untuk menjadi ahli PMRAM seperti yang termaktub di dalam perlembagaan? Persoalan ini diutarakan kerana survey yang saya pernah lakukan secara rambang mendapati ahli persatuan tidak pernah didedahkan kepada perlembagaan persatuan yang menjadi asas dan teras kepada pergerakan persatuan.

Persoalan yang lain ialah, apakah syarat yang termaktub di dalam undang-undang tubuh persatuan yang bernaung di bawah PMRAM selari dengan perlembagaan PMRAM? Sedangkan nama lain bagi BKAN dan DPM ialah PMRAM Cawangan. Dan adakah perkara ini termaktub juga di dalam perlembagaan?

3.       Kesalahan Fakta

Seperti yang kita sedia maklum, ISMA sememangnya menghantar wakil dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu. Merujuk kepada surat, ia mengakui bahawa ISMA adalah NGO yang menyertai (?) pilihanraya baru-baru ini, maka ISMA dikira sebagai parti politik.

Saya berpandangan (boleh jadi pandangan ini salah) ISMA tidak boleh dikategorikan sebagai parti politik jika hanya menghantar calon untuk bertanding di dalam pilihanraya kerana calon ISMA bertanding atas tiket parti BERJASA. Bukan parti ISMA.

4.      Asrama Pulau Pinang

Saya tidak berhasrat menyentuh usul mesyuarat yang diluluskan seperti yang termaktub di dalam surat. Fokus saya beralih kepada asrama Pulau Pinang. Mengikut kenyataan rasmi YDP BKPPPM, asrama Pulau Pinang telah diamanahkan oleh kerajaan negeri dan MAINPP kepada BKPPPM untuk mengurus tadbir asrama tersebut mengikut undang-undang tubuh persatuan yang sedia ada. Keputusan yang dibuat dan diambil berdasarkan undang-undang tubuh dan etika perumahan.

Persoalannya, apakah kaitan antara PMRAM dalam isu ini, sedangkan YDP BKPPPM menafikan penglibatan PMRAM? Butiran di dalam surat menyebut antara syarat yang melayakkan seseorang tinggal di rumah tersebut mestilah menjadi ahli BKPPPM. Dalam butiran lain pula menyebutkan bahawa keahlian BKPPPM tertakluk kepada keahlian PMRAM. Maka persoalan yang lain, apakah rumah yang diamanahkan kerajaan negeri itu hanya berhak kepada ahli PMRAM sahaja? Ini yang difahami jika berdasarkan butiran surat tersebut, dan sudah pasti perlembagaan tidak didedahkan lagi.

5.       Menafikan Penglibatan PMRAM dalam Isu

Saya menyambut baik kenyataan YDP BKPPPM dan Presiden PMRAM yang menafikan penglibatan PMRAM dalam isu ini. Tetapi beberapa persoalan timbul, iaitu :

-          PMRAM membenarkan penggunaan letterhead rasmi kepada persatuan yang bernanung. Jika PMRAM bersungguh-sungguh ingin menafikan hal ini, saya mencadangkan agar letterhead rasmi itu ditarik semula dan menuntut agar BKPPPM memohon maaf kepada PMRAM  kerana telah mencemarkan nama PMRAM.
-         Seingat saya PMRAM menggunakan istilah PMRAM Cawangan kepada persatuan yang bernaung (BKAN/DPM) di dalam Muktamar Sanawi.

6.      Konspirasi

Saya mendapat komen daripada beberapa orang kenalan sama ada di Mesir atau di tempat lain, mungkin isu ini merupakan konspirasi ISMA untuk menjatuhkan PMRAM. Saya tidak ada jawapan untuk itu. Mungkin ya, mungkin tidak. Dan saya akui bahawa banyak perkara yang saya tidak bersetuju dengan ISMA, tetapi itu bukan isu kepada hal ini. Seperti yang saya jelaskan kepada beberapa orang kenalan, menurut pengamatan saya dalam isu ini terbina di atas dua asas ; diskriminasi dan perlembagaan yang tidak didedahkan.



Demikian pandangan kerdil saya di dalam isu ini. Bukanlah bertujuan untuk mengeruhkan keadaan, apatah lagi mencari musuh. Tetapi apa yang jelas, sebagai anak muda, seharusnya kita memulakan anjakan paradigma dan memasuki wacana baharu. Budaya berdialog, bersetuju untuk tidak bersetuju, toleransi, meraikan pandangan lain sekalipun bukan daripada kumpulan kita, bersepakat di atas isu yang bersifat asas adalah perlu diperkasakan. Anak muda seharusnya membentuk politik baharu, tidak lagi terikut dengan budaya lama yang merosakkan.

Sekian.

Sunday 7 July 2013

RINGKASAN BUKU MUHAMMAD S.A.W AL-RASUL AL-SIYASIY

*Terjemahan dan olahan (link asal)

“Muhammad s.a.w al-Rasul al-Siyasiy” ialah sebuah tajuk bagi sebuah buku yang ditulis oleh seorang tokoh pemikir Islam, Dr Muhammad ‘Imarah. Beliau merupakan ketua editor bagi Majalah al-Azhar. Buku ini menceritakan mengenai Sayyiduna Muhammad s.a.w sebagai seorang rasul Islam, peranan Baginda sebagai seorang tokoh politik dan juga perkaitan antara agama dan juga negara.


Dr Muhammad ‘Imarah menyatakan pada muqaddimah kitab beliau yang diedarkan daripada majalah al-Azhar sempena kehadiran bulan Rabi’ al-Awwal bahawa di sana terdapat perbezaan antara “al-risalah” dan juga “al-siyasah”, perbezaan antara “al-deen” dan juga “al-daulah” pada perlaksanaan tugas Rasulullah s.a.w. Difahami di sini bahawa “al-risalah” itu ialah “al-deen” atau agama (cara hidup keseluruhan), dan beliau memberi makna bahawa apa yang dimaksudkan dengan “al-risalah” itu ialah sesuatu yang disifatkan sebagai berharga dan asasnya adalah untuk menghilangkan kelemahan pada akal manusia pada apa yang tidak mampu mereka capai. Manakala hukum-hukum “al-risalah” dan petunjuk “al-deen” merangkumi setiap perkara termasuklah politik. Hal ini kerana dengan petunjuk agama dan hukum-hukum risalah itulah menjadikan manusia lebih hampir dengan kebaikan dan membawa mereka jauh daripada kerosakan.

Dr Muhammad ‘Imarah melalui karya beliau telah membahagikan politik itu kepada dua bahagian ; politik yang berada dalam kerangka shari’ah dan politik yang tidak berada dalam kerangka shari’ah. Pada bahagian pertama iaitu politik yang berada dalam kerangka shari’ah, penulis mengatakan bahawa politik seperti yang dimaksudkan ini adalah selari dengan tujuan-tujuan shari’ah Ilahiyyah, iaitu “merealisasikan keadilan seperti yang telah diutuskan kepada Rasulullah s.a.w dan diturunkan kitab-kitab-Nya untuk penegasan dan merealisasikannya”. Hal ini (merealisasikan keadilan) termasuk juga dalam kebanyakan perkara yang tidak disyariatkan kepada Rasul s.a.w dan tidak ada wahyu yang diturunkan mengenainya, kerana dalam aspek politik ia tidak terhenti kepada petunjuk dan hukum-hukum risalah yang tertentu, dan ia bukan juga termasuk dalam hal usul di dalam agama. Hal ini kerana perbahasan mengenainya memasuki lapangan yang sangat luas, dan ia melewati perkembangan serta perubahan. Bahkan ia berbeza dengan perkara yang bersifat tetap di dalam agama yang telah disempurnakan Allah, bebas daripada perkembagan dan perubahan.

Pada bahagian kedua iaitu politik yang tidak berada dalam kerangka shari’ah, ia bersifat bersalahan dengan jalan menuju keadilan, bahkan ia terkeluar daripada kerangka “al-risalah” dan aspek “al-deen”. Dr Muhammad ‘Imarah menjelaskan kemudiannya bahawa antara risalah agama dan juga politik mempunyai hubung kait, tetapi di sana juga ada perkara yang memisahkan. Setiap apa yang terkandung di dalam “al-risalah” ia merangkumi aspek politik, tetapi tidak semua aspek politik terangkum di dalam agama dan risalah. Agama telah meletakkan kerangka yang jelas sebagai panduan untuk menjadikan politik itu bersifat patuh shari’ah, sekalipun di sana terdapat perkara-perkara baharu yang tidak ada wahyu mengenainya.

Seterusnya, pada bahagian pertama buku ini menjelaskan seputar Muhammad s.a.w sebagai seorang rasul. Penulis menyebut bahawa pada fasa Makkah, Baginda s.a.w hanya menyampaikan dakwah dan hukum-hukum agama yang diturunkan Allah kepada manusia, tetapi Baginda s.a.w tidak menjadi seorang ahli politik bagi negaranya ketika itu, tidak menjadi pemimpin politik untuk masyarakat yang sedikit ketika itu.

Pada bab kedua pula, penulis membahaskan sekitar topik Muhammad s.a.w sebagai ahli politik. Menurut penulis, Islam yang telah disempurnakan pada fasa kenabian telah membuka jalan kepada manusia untuk sebuah perkembangan yang kritikal, perubahan yang pelbagai dalam menanggapi soal politik dan kekuasaan dalam sebuah negara Islam, dalam menjelaskan hubung kait antara risalah agama dengan politik dan negara. Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya melalui kebanyakan hadith bahawa peraturan hukum yang ada pada Islam mempunyai perbezaan dengan apa yang diketahui sejarah lampau, pada tamadun yang wujud sebelum tamadun Islam.

Menurut Dr Muhammad ‘Imarah lagi, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan melalui kalam Baginda bahawa, “apa yang menjurus kepada persoalan agama maka ia akan kembali kepada aku, dan apa yang menjurus kepada persoalan dunia kalian maka lakukanlah mengikut kemahuan kalian, sedang kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian”. Dalam menerangkan soal hubung kait antara agama dan politik ini, Rasulullah s.a.w telah membezakan dari sudut perlaksanaannya pada apa yang disebut sebagai risalah agama dan apa yang disebut sebagai urusan politik. Hal ini telah menjelaskan perbezaan yang wujud antara konsep yang dibawa oleh Islam dengan konsep yang pernah diamalkan oleh gereja pada tamadun yang lain. Namun demikian, sekalipun jelas petunjuk yang dibawa oleh Nabi s.a.w, masih ada dalam kalangan muslim yang mengikuti jejak langkah mereka (generasi pada tamadun yang terdahulu) yang menjadikan persoalan politik ini sebagai persoalan agama yang suci, sehingga mewajibkan para imam mereka terpelihara dari segala dosa seperti para Nabi.

Menurut penulis, seperti yang dilihat apa yang menimpa umat terdahulu dengan penyakit taqlid kepada fahaman yang dibawa oleh gereja dahulu, maka seperti itu jugalah pada hari ini umat ditimpa penyakit sekularisme barat. Dua kelompok ini dilalaikan, sebahagian mereka menyatakan bahawa negara Islam itu ialah negara yang berpaksikan agama dan suci, sebahagian lagi menyatakan bahawa Islam itu hanya agama semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan negara. Manhaj Islam jelas membezakan keduanya dan menolak fahaman yang mengatakan bahawa agama dan politik itu adalah satu dan sakral, menjadikan persoalan politik itu sebagai penguasaan agama dan negara agama serta hukum Tuhan. Manhaj Islam juga menolak fahaman sekularisme barat yang memisahkan agama dengan negara tanpa sedikit pun hubung kait antara keduanya.

Menurut analisis Dr Muhammad ‘Imarah, manhaj Islam dibezakan dengan prinsip “wasotiyyah” (sederhana) yang membawa maksud tidak menolak terus kedua pertentangan yang disebutkan kerana keduanya memiliki penyertaan yang sama. Konsep sederhana yang dimaksudkan ialah “adil” terhadap dua perkara yang zalim,  menyatakan “haq” di atas dua kebatilan, “sederhana” di atas dua perkara yang melampau, yang menunjukkan di sana terhimpunnya antara risalah agama dan politik, antara agama dan negara, tanpa mencapai pada had penggabungan dan penyatuan secara mutlak seperti yang berlaku ke atas pihak gereja, dan tidak pula berlaku pengasingan secara mutlak seperti yang ditunjukkan oleh fahaman sekularisme. Dr Muhammad berkata bahawa konsep wasotiyyah ini menyeru kepada sebuah negara yang Islami dan politik yang Islami, tetapi dalam masa yang sama menolak kekuasaan agama ke atas negara dan juga sekularisme.


Pada bab yang berikutnya iaitu penjelasan mengenai hubung kait antara agama dan negara, jelas beliau bahawa semua aliran pemikiran Islami dan para ilmuannya bersepakat bahawa penubuhan sebuah negara itu bukanlah salah satu rukun dan juga asas kepada rukun-rukun agama. Hal yang demikian memetik kata-kata Imam Ibn Taimiyyah bahawa ia bukan juga salah satu rukun daripada rukun iman yang enam dan juga bukan salah satu rukun daripada rukun ihsan.

Tambahan Dr Muhammad ‘Imarah bahawa tidak ada seorang ilmuan yang mengatakan bahawa wahyu al-Quran itu telah memisahkan negara yang Islami daripada aturan shari’ah secara sistemnya, dan tidak pula mengatakan bahawa Allah mewajibkan ke atas Rasul-Nya untuk mendirikan sebuah negara di dalam al-Quran, seperti kewajipan rukun-rukun Islam dan kewajipan agama pada usul dan pegangan. Hal ini menunjukkan bahawa agama itu ialah apa yang telah ditetapkan Ilahi, dan ia adalah risalah penutup yang menyempurnakan segala rukunnya, pegangannya, usulnya dan shari’atnya di dalam al-Quran al-Karim, mengandungi ayat-ayat yang tidak meliputi persoalan sistem, tidak menshari’atkan sebuah negara, tetapi tidak pula memisahkan daripada sebuah pemerintahan yang dikembangkan daripada masyarakat Muslim.

Kemudian pemikir Islami ini berkata lagi bahawa, al-Quran al-Karim yang dilihat tidak menunjukkan kewajipan untuk muslimin mengasaskan sebuah negara pada hakikatnya diwajibkan ke atas mereka. Hal ini dilihat daripada beberapa kewajipan agama yang mustahil didirikan dan dilaksanakan sekiranya tidak didirikan sebuah negara yang memiliki ruh Islami, seperti kewajipan melunaskan bayaran zakat, hukum balas (qisas), menyempurnakan kewajipan shura Islamiyyah pada perkara yang melibatkan muslim, mentadbir dan meraikan maslahah Islamiyyah dengan menarik manfaat dan menghindari mudarat, serta kewajipan ilmu. Hal ini merujuk kepada perintah al-Quran melalui ayat 58 dan 59 surah al-Nisa’ yang mewajibkan pemerintah muslim menunaikan amanah, dan kewajipan rakyat untuk mentaati pemerintah yang telah melaksanakan amanahnya.

Hubung kait antara politik dan agama di dalam manhaj Islami ini merupakan kewajipan masyarakat Madani yang perlu dilaksanakan, untuk melaksanakan kewajipan agama yang telah difardhukan Allah ke atas orang yang beriman dengan Islam. Penulis telah menegaskan bahawa persepakatan muslimin dalam meletakkan kewajipan dan kepentingan menubuhkan sebuah negara ini tidaklah termasuk di dalam kerangka usul pegangan agama dan bukan juga daripada rukun-rukunnya, kecuali Shi’ah yang menyatakan sebaliknya. Hal ini kerana kewajipan untuk mendirikan sebuah negara yang di dalamnya berperanan untuk melaksanakan kewajipan agama merangkumi hak-hak kebaikan untuk manusia di dalam kehidupan.

Penulis mendatangkan contoh pendirian Abu Bakr r.a yang bertindak memerangi beberapa kabilah yang masih kekal dengan Islamnya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, tetapi mereka enggan untuk melunaskan bayaran zakat dengan harta mereka. Sebagai seorang Khalifah untuk sebuah negara Islam, beliau telah mendatangkan contoh yang baik untuk menjelaskan hubung kait antara agama dan negara, beliau telah memerangi kumpulan tersebut dan menyatakan bahawa mereka bukan di dalam agama Islam hanya kerana keengganan mereka untuk membayar zakat kepada sebuah negara yang baharu. Pendirian ini menunjukkan bahawa mereka telah terkeluar daripada kesatuan di dalam sesebuah negara, sekalipun mereka beriman dengan tauhid agama yang datang dengan shari’at Islam.

Dr Muhammad ‘Imarah berpandangan bahawa negara khilafah yang dipertahankan para sahabat dan mereka memerangi para murtaddin, sekalipun tabiat negaranya ialah Madani tetapi penafian terhadap kewajipan agama di dalamnya. Kewujudan negara khilafah ini merupakan jalan untuk mendirikan Islam secara keseluruhannya seperti sebuah cara kehidupan layaknya, dan ia merupakan instrument untuk merealisasikan apa yang telah dijanjikan Allah di dalam al-Quran.

Pada bab keempat buku ini, penulis menyanggah golongan sekularis dengan dakwaan sekularisme Islam yang melihat bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengasaskan daulah, tidak mendirikan kerajaan, tidak menjadi pemimpin politik bagi sebuah masyarakat madani selepas hijrah. Beliau menjelaskan bahawa di sana terdapat petunjuk dan isyarat akan panduan sebuah negara yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat Baginda, yang dimulai dengan kontrak perjanjian untuk mendirikan sebuah negara antara Rasulullah dan pemimpin kabilah Aus dan Khazraj, sebelum ketibaan bulan hijrah Baginda. Melalui kontrak ini wujudnya “Bai’ah al-‘Aqabah”, sebuah komitmen politik, pertahanan dan kemasyarakatan yang dizahirkan padanya, ia merupakan sebuah hakikat dan bukan ilusi untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang pertama di dalam sejarah.


Seterusnya penulis menyenaraikan semua baki contoh yang jelas yang diambil daripada perlaksanaan Rasulullah s.a.w, ketika secara iltizam praktikalnya dalam lapangan politik dalam menjelaskan apa itu agama yang suci dan apa itu politik yang akhirnya membangunkan sebuah negara. Baginda memimpin negara tersebut, menyusun masyarakatnya dan mengembangkan tamadunnya pada kehidupan dunia, seperti contoh yang ditunjukkan di dalam perang Badar dan Khandaq dan kejayaan perlakasanaan Baginda dalam lapangan kehakiman. Sebagai mengakhiri penulisan beliau, Dr Muhammad menjelaskan bahawa sesungguhnya Islam itu ialah “al-deen” dan “al-daulah”. Pada frasa ini, huruf “wau” yang menghubungkan keduanya itu bersifat mengikut, dan negara mengikuti agama. Di dalamnya juga mengandungi makna perubahan berdasarkan makna dari sudut bahasanya, maka sesungguhnya ia berguna dalam menghubungkan serta menggabungkan keduanya. Dalam erti kata yang lain, di sana terdapat perbezaan antara agama dan politik, tetapi dalam masa yang sama ia mempunyai kaitan yang menghubungkan keduanya dengan hubungan yang telah ditetapkan shari’at Islam dan tujuan-tujuan shariat yang telah dishari’atkan Allah. Ia berdasarkan apa yang telah dikeluarkan dan diperakui oleh para ilmuan kalam dan usul bahawa, mengikut panduan dan tatacara Rasul itu tidaklah wajib melainkan pada perkara-perkara yang disifatkan sebagai shari’at yang khusus, yang telah disifatkan pada perkara itu bahawa kita terselamat daripada sebarang kesilapan.

Wednesday 19 June 2013

Kedudukan Ilmu Di Sisi Generasi Terdahulu.

Seorang sahabat, ‘Ali karamallahu wajhah telah berkata kepada Kamil bin Ziyad, “Wahai Kamil, ilmu itu mengawasi kamu sedang kamu mengawasi harta, ilmu itu adalah hakim sedang harta itu adalah barang yang dihakimi ke atasnya, harta itu sifatnya berkurang dengan perbelanjaan sedang ilmu itu bertambah dengan penyebaran.” Perkara ini telah disyarahkan oleh Ibn al-Qayyim dengan syarahan yang meluas di dalam karyanya yang berjudul “Miftah Dar al-Sa’adah”.

Abu al-Aswad pernah menyebut bahawa tidak ada suatu perkara yang lebih menjadikan seseorang itu mulia melainkan dengan ilmu. Para penguasa menguasai manusia kebanyakan, sedang para ulama’ menguasai para penguasa. Hal ini telah dirumuskan oleh si penyair dalam bait syairnya,

Sesungguhnya para pembesar menguasai golongan bawahan
Sedang para pembesar itu sendiri dikuasai para ilmuan.

Dan seseorang telah bertanyakan kepada Ibn al-Mubarak, “Siapakah manusia?” Ibn al-Mubarak menjawab, “golongan yang berilmu.”

Beliau ditanya lagi, “Siapakah para penguasa?” Ibn al-Mubarak menjawab, “Mereka yang zuhud.”

Beliau ditanya lagi, “Siapakah mereka yang hina?” Ibn al-Mubarak menjawab, “Mereka yang memakan hasil dunia dengan menjual agama.”

Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa orang berilmu itu diistilahkan sebagai manusia kerana ciri istimewa yang membezakan seorang manusia dengan haiwan ialah akal, sedang akal itu dizahirkan dengan ilmu. Ibn ‘Abbas telah menyebutkan bahawa melakukan revisi terhadap ilmu pada sebahagian malam lebih beliau sukai berbanding menghidupkannya dengan ibadat khusus. Al-Hasan juga menyebutkan bahawa apabila ditimbang dakwat yang digunakan golongan berilmu berbanding darah para syuhada’, maka dakwat yang digunakan golongan berilmu itu lebih memberati timbangan tersebut.

Di dalam tafsir ayat dari Surah al-Baqarah 2 ; 201 mafhumnya,

“…Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat...

Beliau telah menyebutkan bahawa sesungguhnya kebaikan di dunia itu ialah ilmu dan ibadat, dan kebaikan di akhirat itu ialah syurga.

Dan disebutkan bahawa Hakim telah ditanya oleh seseorang, “Apakah perkara yang mampu aku perolehi?” Hakim pun menjawab, “Perkara tersebut ialas sesuatu yang berenang bersama kamu di kala sampanmu karam, iaitulah ilmu.”

Imam Ahmad pernah menyebut bahawa manusia lebih berhajat kepada ilmu melebihi makanan dan minuman kerana seseorang itu hanya memerlukan makanan dan minuman sebanyak sekali mahupun dua kali dalam sehari, sedangkan dirinya memerlukan ilmu sebanyak bilangan nafasnya. Sebahagian daripada generasi terdahulu juga pernah menyebutkan bahawa sesiapa yang menginginkan dunia maka wajib untuk dirinya mempunyai ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat juga wajib untuk dirinya mempunyai ilmu dan sesiapa yang menginginkan keduanya maka dia juga wajib mempunyai ilmu.

___________________


Terjemahan dan sedikit olahan. Dipetik daripada “Al-Hayat ar-Rabbaniyyah wa al-‘Ilm” karya al-Sheikh al-Qaradhawy. Artikel asal boleh diperoleh di sini.