Thursday 16 August 2012

KEPEMIMPINAN MELALUI LENSA ISLAM



Saya mulakan penulisan saya dengan memetik sepotong firman Tuhan melalui surah al-Baqarah, ayat 30 mafhumnya,

Dan tatkala Allah berfirman kepada para malaikat, Aku akan jadikan Khalifah di atas muka bumi. Para malaikat berkata, apakah Engkau akan menjadikan di atas muka bumi ini mereka yang sering melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan menyucikan-Mu? Allah menjawab, sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.

Ulama’ tafsir memberi makna khalifah di dalam ayat ini sebagai mereka yang mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama. Secara mudah fahamnya, ia memberi makna bahawa manusia ditugaskan sebagai pemimpin di atas muka bumi. Hal ini turut disokong oleh sepotong sabda Nabi s.a.w, mafhumnya,

Setiap daripada kamu adalah pengembala, dan setiap daripada kamu akan dipersoalkan terhadap apa yang digembalakan.

Hadith ini memberi makna bahawa manusia bertindak sebagai pemimpin, seperti yang telah dijelaskan melalui firman Allah di atas. Konsep kepemimpinan di dalam hadith ini mencakupi segala aspek, bermula di peringkat individu sehingga ke peringkat yang lebih luas melibatkan masyarakat keseluruhan.

Merujuk kepada tafsiran khalifah yang diberikan ulama’, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawy mengupas makna agama (ad-deen) di dalam salah sebuah karya beliau berjudul Agama dan Politik sebagai pecahan kepada tiga makna yang besar dan saling berkait. Menurut beliau, makna ad-deen yang pertama ialah menguasai, mempunyai, menghukumi, memimpin, mengatur, memaksa, menentukan, membuat keputusan, mengira atau memberi balasan kepada orang atau sesuatu yang lain.

Sementara itu, makna ad-deen yang kedua ialah seseorang yang taat atau tunduk kepada sesuatu. Kata ad-deen ini bererti tunduk, taat atau menyembah dan menjauhi larangan. Melihat kepada dua definisi yang didatangkan, ia saling berkait dan mempunyai kesesuaian.

Makna ad-deen yang ketiga pula ialah sistem yang mengatur hubungan antara dua pihak. Ad-deen dalam hal ini bererti mazhab atau cara yang dijalani oleh seseorang sama ada secara teori dan amali. Kesimpulannya, secara etimologi menurut bangsa Arab, kata ad-deen mengisyaratkan adanya ikatan dua pihak ; Tuhan dan hamba. Sementara jika hubungan kedua-dua pihak ini dipandang dari sudut ikatan, maka hubungan tersebut bererti undang-undang yang mengatur hubungan kedua-dua pihak atau bukti yang menunjukkan adanya hubungan tersebut.

Penulis melihat huraian makna khalifah di dalam ayat tersebut memberi makna kepada mendirikan sebuah sistem yang menghubungkan antara Tuhan dan hamba, seterusnya mentadbir dunia dengan sistem tersebut. Secara mudahnya, konsep kepemimpinan di dalam Islam mewarisi apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi s.a.w, seperti yang telah dirakamkan di dalam al-Quran melalui surah Yusuf, mafhumnya,

Katakanlah (wahai Muhammad), inilah jalanku iaitu menyeru manusia untuk kembali kepada Allah di atas bukti-bukti yang nyata, yang dilalui olehku dan para pengikutku…
Namun, perlu difahami bahawa di sana terdapat ruang perbezaan antara konteks masyarakat dan konteks pentadbiran, seperti yang pernah dijelaskan oleh beberapa ilmuan Islam kontemporari. Antara tokoh ilmuan kontemporari yang mengupas mengenai hal ini ialah Prof. Dr Tariq Ramadan dalam kerangka Sekularisme.


Memilih Pemimpin

Penulis ingin mendatangkan sepotong firman Allah di dalam sub-topik ini. Allah berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 58 mafhumnya,

Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu agar menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…

Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, ayat ini dikhususkan untuk para pemimpin. Ayat ini menyuruh agar sesuatu amanah itu diserahkan kepada mereka yang berhak untuk menerimanya dan juga menyuruh agar berlaku adil dalam menetapkan sesuatu hukum.

Apabila menyentuh perihal menyerahkan amanah kepemimpinan, dua ciri khusus telah dirakamkan melalui firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 26 mafhumnya,

…Sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang memilki kekuatan dan amanah.

Ayat ini menjadi syarat asas dalam memilih dan menentukan siapa yang paling layak serta berhak untuk diangkat sebagai pemimpin. Dua syarat asas yang digariskan di dalam ayat ini iaitu kompetensi dan amanah. Di dalam ayat ini, Allah menggunakan huruf al-istighraqiyyah pada kalimah al-qawiy dan al-amin. Jika dilihat melalui kaedah ini, segala jenis kompetensi yang diperlukan oleh seorang pemimpin seharusnya ada pada setiap diri yang ingin diserahkan amanah kepadanya.

Sekiranya kedua-dua sifat ini tidak dimiliki oleh seorang pemimpin, nescaya kepemimpinannya akan dilihat lemah dan terlalu mudah untuk digulingkan. Begitulah aturannya seperti yang telah dijelaskan oleh Baginda Nabi s.a.w. Pernah suatu ketika Nabi s.a.w ditanya bilakah berlakunya saat kehancuran. Nabi menjawab pertanyaan tersebut dengan sabda Baginda,

Apabila amanah telah dipersiakan maka tunggulah saat kehancuran. Sahabat bertanya bagaimakah amanah itu dipersiakan. Baginda menjawab, apabila diserahkan amanah itu kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran.

Melihat hal ini, ia memberi makna bahawa sesiapa sahaja layak untuk diberikan amanah kepemimpinan kepadanya, asalkan memenuhi syarat dan ciri asas seperti yang disebutkan. Para fuqaha’ menjelaskan bahawa seorang pemimpin itu dipilih melalui suara orang ramai, bukan ditentukan oleh generasi atau pemimpin sebelumnya. Pemimpin yang telah dipilih secara sah melalui persetujuan masyarakat wajib dibantu dan disokong.

Menyentuh aspek pilihan orang ramai, penulis ingin mendatangkan sebuah hadith, mafhumnya :

Ada tiga golongan yang pahala solatnya tidak naik meskipun sedikit di atas kepala (maksudnya adalah kiasan bahawa solat mereka tidak dapat diterima Allah dan tidak mendapat pahala) : Pertama ialah solat seseorang yang mengimami solat sedangkan makmumnya membencinya, yang kedua ialah seorang perempuan yang melalui malamnya dalam keadaan suaminya marah kepadanya, dan yang ketiga ialah solat dua orang saudara yang saling bertengkar.

Makna melalui hadith ini ialah, seorang yang ingin menjadi imam solat kepada makmumnya mesti dipilih dan disukai oleh makmumnya. Dan apabila dia merasakan bahawa pandangan makmumnya telah berubah, maka hendaknya dia mengundurkan diri daripada tugas sebagai imam solat. Sekiranya dia enggan, dibimbangi solatnya hanya sia-sia dan tidak diterima di sisi Allah.

Jika dalam kepemimpinan yang kecil seperti ini pandangan makmum diambil kira, apatah lagi dalam urusan kepemimpinan umat yang mencakupi segala aspek kehidupan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya,

Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang mencintai kamu dan mereka yang kamu cintai, juga mereka yang mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Sedangkan seburuk-buruk pemimpin ialah mereka yang membenci kamu dan kamu membenci mereka, juga mereka melaknati kamu dan kamu melaknati mereka.

Dr. Yusuf al-Qaradhawy mengulas hadith ini sebagai berkata, aspek hubungan yang paling mendasar antara pemimpin dan pengikut adalah kepercayaan, cinta dan hubungan timbal-balik. Bukan kebencian dan saling melaknati yang akan mewujudkan suasana kekuasaan kuku besi.


Berilmu Sebelum Memimpin

Penulis terkenang sebuah nasihat yang masyhur. Nasihat ini sangat membekas di dalam diri dan sentiasa diajadikan sebagai pemangkin untuk maju ke hadapan dan juga sebagai muhasabah. Pesan ini dinukilkan oleh Amir al-Mu’minin Sayyiduna Umar al-Faruq. Belia berkata,

Fahamilah (ilmu) sebelum kamu memimpin”.

Ilmu merupakan elemen asas yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin. Kerana hanya dengan ilmu urusan kepemimpinan akan menjadi telus. Hanya dengan ilmu kepemimpinan akan dipandu agar tidak terkeluar daripada orbit syara’. Tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang mampu menafikan elemen ilmu dalam membentuk kekuatan dan nilai amanah dalam urusan kepemimpinan.

Pasti tidak dapat kita nafikan, apabila kita menyentuh aspek kepemimpinan maka ia tidak dapat lari daripada soal siyasah atau dikenali dalam dunia hari ini sebagai politik dan urus tadbir. Menyentuh aspek kepemimpinan dan siyasah, maka adalah lebih elok kita meneliti beberapa pandangan yang didatangkan oleh Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradhawy  dan apakah kaitannya dengan ilmu yang menjadi elemen asas kepada ciri kekuatan dan amanah.

Komentator kamus Tajul Arus menyebut, “Kata as-siyasah dapat diertikan kiasan seperti dalam contoh berikut : saya mengatur rakyat menggunakan politik ketika saya memerintah dan melarang rakyat”. Sedangkan dalam buku Ma’rifah Ulum as-Siyasah yang diterbitkan oleh Universiti Kuwait daripada sebuah ensiklopedia karya Robert, as-siyasah diertikan sebagai suatu disiplin ilmu tentang organisasi sosial kemasyarakatan. Berbeza dengan al-Mu’jam al-Qanuni yang mengertikan kata as-siyasah sebagai dasar atau disiplin ilmu yang membahaskan cara mengatur pelbagai persoalan yang bersifat umum.

Apa yang lebih menarik ialah nukilan daripada al-Imam al-Hasan bin Muhammad bin al-Mufadhal yang lebih dikenali sebagai ar-Raghib al-Asfihani. Beliau menyebut bahawa as-siyasah terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah untuk dirinya sendiri, sama ada berhubung dengan keperluan jasadnya atau keperluan lainnya. Kedua ialah urus tadbir terhadap pihak lain, sama ada kerabatnya aataupun masyarakat secara umum. Beliau menyebut, seseorang yang tidak mampu bersikap baik terhadap dirinya maka mustahil dia akan bersikap baik terhadap orang lain. Beliau juga mendatangkan sabda Nabi s.a.w mafhumnya,

Fahamilah dirimu sendiri, sebelum kalian memimpin orang lain”.

Seorang ilmuan Islam yang bernama Abu al-Wafa’ Ibnu ‘Aqil menyebut, “tindakan politik yang memang menghasilkan maslahat dan tidak menimbulkan bahaya kerosakan boleh diserahkan kepada manusia, walaupun ia tidak memiliki aturan daripada Rasulullah s.a.w mahupun wahyu Allah s.w.t”.

Beliau juga menegaskan bahawa keadilan Allah merupakan sebab berdirinya langit dan bumi. Apabila keadilan sudah tercipta, bagaimana jua cara yang digunakan bererti syariat dan agama Allah sudah ditegakkan. Kerana itu Allah tidak menetapkan suatu cara untuk mencipta keadilan. Bahkan, Allah menjelaskan bahawa cara yang sesuai dengan syariat adalah jika cara tersebut sesuai dengan tujuan Allah.

Merujuk kepada komentar Ibnu ‘Aqil ini, kita tidak menafikan bahawa ilmu menjadi tunjang yang akan menentukan bahawa sesuatu perkara itu betul di sisi syara’ mahupun tidak. Bahkan, melalui ilmu juga kita dapat menentukan sama ada keadilan mampu dicapai di dalam sebuah kepemimpinan atau tidak. Hal ini kerana sesebuah pentadbiran itu berdiri di atas dasar maslahah. Sedangkan manusia menggunakan akal untuk menentukan sesuatu perkara itu betul atau salah. Maka, sudah pasti akal yang mampu membezakan antara baik dan buruk itu ditunjangi ilmu dan wahyu. Menurut ulama’, sekurang-kurangnya terdapat 3 ilmu asas yang perlu dikuasai di dalam arena politik dan kepemimpinan, iaitu usul al-fiqh, maqasid al-shari’ah dan siyasah al-shar’iyyah.


Kesimpulan

Syariat Islam yang diturunkan kepada Nabi dan umat akhir zaman bersifat komprehensif dan sesuai untuk sepanjang zaman. Ia merupakan pelengkap kepada syariat umat terdahulu. Syariat yang diturunkan ini mencakupi seluruh aspek, bermula daripada individu sehingga ke peringkat kepemimpinan dan siyasah.

Islam tidak menggariskan model-model khusus untuk dicontohi oleh generasi kemudian. Apa yang pasti, di dalam syariat ini terkandung nilai-nilai yang sememangnya telah dipraktikkan oleh para anbiya’ dan generasi terdahulu. Justeru, model kepemimpinan anbiya’ dilihat pada nilai yang diterjemahkan, sedangkan caranya tidaklah tetap untuk setiap zaman.

Apa yang perlu difahami ialah konsep kepemimpinan di dalam Islam bukanlah bersifat autokrasi atau despotik. Bahkan penulis berpandangan bahawa konsepnya lebih menjurus ke arah kepemimpinan demokratik dan manusia hanya berperanan sebagai mengurus tadbir amanah yang diberikan, bukan bertindak seperti pemegang kuasa mutlak dan suci seperti yang pernah ditunjukkan Firaun suatu masa dahulu.

No comments:

Post a Comment